Langkau ke kandungan utama

Yang Ditampilkan

Selamat Datang ke Jalur Memori – Blog Hiking & Adventure!".

  Assalamualaikum dan hai semua! Selamat datang ke Jalur Memori ! 🎉✨ Hari ni, Jumaat yang penuh barakah, 28 Februari 2025, merupakan titik permulaan blog ini. Tempat di mana aku akan berkongsi pengalaman mendaki dan meneroka keindahan alam semula jadi! 🌿.  Bayangkan setiap langkah di denai yang mencabar, angin sejuk yang menyapa di puncak, dan pemandangan luar biasa yang terbentang luas di depan mata. Semua tu bukan sekadar perjalanan, tapi kenangan yang tak ternilai. Dan aku tak sabar nak kongsi semua tu dengan korang!  Cuma, aku mungkin akan selitkan juga kenangan-kenangan kecil dalam hidup aku. Tak semestinya tentang hiking, tapi tetap bermakna dan dekat di hati. Kadang-kadang, moment paling sederhana pun boleh jadi kenangan paling indah. 🌻 Sama ada secawan kopi yang mengubat penat, perbualan spontan dengan seseorang, atau detik-detik yang buat kita senyum bila teringat. Semua tu aku nak simpan dan kongsikan di sini sebagai satu perjalanan yang penuh memori. Jom ...

Trip Lata Medang 2.0 - Destinasi Kesepuluh

 17 Februari 2025 | Isnin | Versi Penebusan Salah Trek

Assalamualaikum dan hai semua!

 Rasa macam dekat sebulan blog ni terbiar sepi, kan? Hahaha. Maaf la geng. Hidup sejak akhir-akhir ni memang penuh dengan hal yang datang bertubi-tubi dari kerja, urusan rumah, sampailah ke mental reset yang aku sendiri tak sangka aku perlukan. Tapi, hari ni aku kembali semula ke ruang Jalur Memori ni dengan satu kisah baru yang mungkin korang dah boleh agak iaitu Lata Medang 2.0.

Ya, ini bukan sekadar ulang tayang lokasi. Tapi lebih kepada misi penebusan maruah sebab trip yang lepas aku dan geng sempat tersilap trek, dan tak sampai ke air terjun utama pun! Kali ni, aku cuma pergi bertiga (aku, Epul dan Irsyad), dua sahabat dari kampung yang memang sekepala kalau bab redah hutan.

Siapa Lata Medang ni?

Untuk yang belum pernah dengar, Lata Medang ni adalah salah satu spot hiking dan air terjun yang makin naik nama dia, terletak kat kawasan Kuala Kubu Bharu. Trek dia berkongsi laluan dengan Lubuk Mecu di permulaan, tapi di satu simpang nanti korang kena buat keputusan betul-betul sama ada nak terus ke Lata Medang, atau ke Lubuk Mecu. Itu pun antara sebab trip lepas kami tersasar.

Lata Medang ni sebenarnya tidaklah susah sangat, tapi tak juga semudah petik jari. Kalau korang baru nak berjinak dengan hiking, aku boleh kategorikan trek dia sebagai moderate, cukup nak buat korang rasa tercabar sikit tapi masih mampu habiskan trek. Yang bestnya, air terjun dia tak mengecewakan langsung. Segar, kuat, dan ada ‘bonus’ gelongsor batu yang semula jadi. Memang sesuai untuk buat healing session dengan kawan-kawan yang sekepala.

Awal Pagi Sudah Bermula…

Kami pilih hari Isnin, 17 Februari 2025 sebagai tarikh misi balas dendam ni. Sebab hari kerja, kami jangka tak ramai orang akan naik. Memang betul pun! Tapi itu cerita nanti.

Pagi tu kami bertolak sekitar jam 5:30 pagi. Waktu orang lain mungkin baru lena kali kedua, kami dah siap dengan beg sandang, kasut hiking dan semangat yang membuak. Perjalanan dari tempat kami ambil masa lebih kurang dua jam untuk sampai ke kawasan parkir berhampiran pintu masuk hutan.

Disebabkan kami sampai agak awal, plan asal nak terus mendaki tu tergendala kejap sebab... perut masing-masing dah mula bagi isyarat! Jadi, macam biasa!  misi cari sarapan dulu. Tapi inilah part paling kelakar untuk trip ni. Nak dijadikan cerita, kami tak tahu sangat kedai makan kat kawasan tu. Tak sempat nak buat research pun. Jadi, kami redah je ikut mana yang nampak macam boleh isi perut.

Kami nampak satu warung tepi jalan, suasana dia biasa-biasa je, tapi cukup menarik perhatian kami sebab semuanya warna biru. Masa tu tak rasa apa-apa pun lagi. Tapi lepas duduk, order, dan hampir separuh makan, baru lah kami sedar satu benda...

" Weh, ni kantin balai polis ni! hahaha!"

Masa tu aku tengok Epul dan Irsyad, semua diam kejap. Lepas tu kami bertiga terus gelak tak berhenti. Bayangkan kalau ada perompak nak rompak bank, tapi singgah sarapan dulu kat sini. Bukan main rilek, terus offer diri nak kena tangkap. Hahaha! Tapi apa-apa pun, makanan dia okay, harga pun okay. Cuma... surprise je la sikit.

Mula Mendaki, Mula Diuji

Lepas sarapan ‘berisiko’ tu, kami pun gerak ke tapak mula pendakian. Betul jangkaan kami, memang tak ramai orang sebab hari bekerja. Cuma nampak sorang aunty dengan foreigner perempuan, nampak macam pro hiking. Diorang jalan dulu, kami rilek-rilek siap barang.

Tak lama lepas tu, pendakian bermula. Trek dia macam yang aku pernah cerita sebelum ni. Trek tanah hutan, laluan berselirat akar, naik turun bukit kecil yang mula-mula nampak macam senang, tapi lama-lama boleh buat nafas pendek. Cuma ada satu cabaran yang kami tak sangka akan jumpa… anjing.

Aku tak tahu apa tujuan anjing tu. Mungkin ‘guide’ tak rasmi ke, atau dia memang suka ikut orang naik. Tapi sumpah, rasa tak tenang bila tahu ada anjing yang follow kami dari belakang. Dia tak menggonggong, tak menyerang, tak menyentuh pun. Tapi tetap la rasa seram. Lagi satu, paling cuak bila dia lari ke depan macam nak sambar member dia. aku memang terus pasang langkah untuk mengelak. Jangan la kena sertu kat dalam hutan pulak tengah-tengah pendakian ni.

Sampai Lata, Sampai Lega

Perjalanan ambil masa lebih kurang 2 jam. Kalau ikut pace Epul yang kaki laju, mungkin boleh kurang sejam setengah, tapi kami ambil masa ikut stamina masing-masing. Jangan paksa diri, kalau penat berhenti. Itu prinsip hiking kami.

Dalam perjalanan tu, kami singgah satu spot yang ada air terjun kecil dan tak besar mana, tapi cukup untuk celup kaki, basahkan muka, dan tangkap gambar sikit. Suasana tenang dan bunyi air memang buat badan rasa lebih segar untuk sambung jalan lagi.

Akhirnya kami sampai juga ke Lata Medang. Waktu tu, jam tunjuk tepat pukul 12 tengah hari. Matahari pun tengah naik elok, dan bunyi air terjun dah mula sambut kami dari jauh. Bila sampai je depan lata tu, terus rasa semua penat tadi macam hilang.

Air terjun dia... sumpah segar dan deras. Tempias air dia boleh tahan jugak, jadi kalau nak ambil gambar kat tepi, aku memang syorkan guna waterproof case. Kami sempat main gelongsor batu, dan ambil gambar puas-puas. Mandi-mandi macam budak baru dapat cuti sekolah.

Tunggu Dulu, Bukan Itu Je!

Bila dah rasa puas hati dengan kawasan air terjun tu, Epul ajak jalan sikit lagi ke atas. Katanya ada satu lagi kawasan pemandangan. Mula-mula aku ingat dia main-main. Tapi bila kami ikut je kaki dia, betul rupanya. Kat atas tu ada ruang terbuka yang lapang, boleh nampak view cantik dan tenang. Takde air terjun, tapi tempat yang sesuai kalau nak lepak, makan, atau buat konten healing.

 Kat situ kami masak Maggi, makan sambil sembang panjang. Angin bertiup, bunyi unggas hutan, dan rasa puas lepas sampai ke tempat yang pernah ‘fail’ sebelum ni. Tak ada bakar-bakar sebab malas nak angkut barang berat. Cukuplah dengan makanan simple tapi sedap waktu lapar.

Turun Dengan Langkah Laju

Masa nak turun, kami buat keputusan paling drastik. kami berlari! Sebab si anjing tu masih ada, dan kami tak sanggup lagi nak bawa ‘teman’ tu sampai ke bawah. Sepanjang lebih kurang 2km, kami turun dalam mod separa pecut. Mujur tak terseliuh.

Tapi anjing tu tetap berjaya catch up masa kami sampai bawah. Masa tu dekat kawasan jambatan besi, kawasan terakhir sebelum habis trek. Rasa letih memang tahap maksimum. Jadi kami buat keputusan untuk berendam sekali lagi kat sungai bawah tu. Aku tak pasti nama sungai tu. Kalau korang tahu, tolong komen kat bawah ya!

Penutup: Bila Repeat Jadi Reward

Trip Lata Medang 2.0 ni bukan sekadar repeat trip biasa. Dia lebih kepada misi membalas dendam dan reward diri atas kegigihan kami untuk tak putus asa. Cuma kesian kat sorang member kami yang tak dapat join. Bila tengok gambar, terus dia rasa ralat. Tapi tu la, next time jangan ponteng!

Trip ni ajar aku yang setiap pendakian ada kisah sendiri. Cabaran yang datang tu bukan sekadar letih fizikal, tapi jugak macam mana kita adapt dan enjoy moment tu. Bila kita lepas semua tu, reward yang datang bukan saja view cantik tapi rasa puas hati yang susah nak digambarkan.

Tips Ringkas Buat Pendaki Baru:

  • Datang hari biasa kalau nak suasana tenang (tapi jangan solo).
  • Sediakan air secukupnya dan bawa makanan ringan.
  • Bawa cover waterproof untuk phone & barang elektronik.
  • Pakai kasut yang sesuai, jangan pakai sneakers pasar malam.
  • Kalau ada anjing follow, jangan panik. Jangan provoke.
  • Yang paling penting ikut pace sendiri, jangan paksa badan.

Terima kasih sebab baca sampai habis. So itu je lah cerita repeat trip kami ke Lata Medang kali ni. Tak sangka plan suka-suka nak ‘tebus maruah’ jadi trip yang penuh kejutan, dari sarapan dalam balai polis, sampai la ke anjing setia teman naik turun bukit. Yang penting, puas. Tak perlu benda gah sangat pun, janji ada momen yang buat kita tersengih bila teringat. Kalau tanya aku, trip ni layak dapat 5 bintang... sebab ada peluh, gelak, gambar lawa, dan Maggi panas atas bukit.

Nanti kalau ada cerita baru, aku update lagi. Tapi buat masa ni, cukup dulu dengan Lata Medang 2.0. Kalau korang rasa macam nak redah hutan jugak, jangan fikir lama sangat. Hidup ni kalau asyik tunggu, memang tak mula-mula. Okay geng, aku cabut dulu. Assalamualaikum dan jangan lupa... kalau hiking, jangan tinggal kawan. Tinggal penat takpe




Ulasan

Catatan Popular