Cari Blog Ini
Jujur aku cakap, aku bukannya seorang pendaki berpengalaman atau seorang pro dalam dunia hiking. aku pun masih baru berjinak-jinak dalam aktiviti ini. Macam korang juga! Blog ini bukan tempat untuk aku tunjuk hebat atau berlagak tahu semua benda, tapi lebih kepada satu ruang untuk aku simpan kenangan, berkongsi pengalaman, dan belajar bersama-sama dengan korang yang juga minat mendaki atau baru nak mula explore dunia outdoor.
Yang Ditampilkan
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Bercamping Spontan di Ali River Campsite, Kerling untuk Cari Tenang
Assalammualaikum dan hai rakan Jalur Memori.
Kembali lagi dalam Jalur ini untuk cerita yang seterusnya. Untuk trip kali ni, bukan tentang hiking, tapi bercamping. Sejujurnya, inilah antara perancangan yang kami nantikan juga sebenarnya. Lepas penat lelah bekerja, kami curi-curi masa untuk cari ketenangan, masuk ke dalam hutan, dengar bunyi sungai dan biarkan kepala berehat sekejap dari rutin kerja harian. Trip kali ni aku bergerak dengan tiga orang kawan sekerja yang juga satu rumah sewa, tapi yang betul-betul ikut bercamping semalaman cuma dua orang sahaja, termasuk aku. Seorang lagi tu? Jangan tanya kenapa. Mungkin ada urusan yang tak dapat dielakkan, atau mungkin juga ada trust issue dengan hutan. Hahaha!
Destinasi Healing Yang Kami Pilih
Bila sebut pasal camping, mesti ada yang tertanya-tanya ke mana aku akan bawa korang kali ni. Untuk trip kali ni, aku dan kawan aku bercamping di Kerling, Hulu Selangor, di sebuah campsite yang dikenali sebagai Ali River Campsite. Aku akan sediakan link di bawah nanti untuk korang buat research sendiri. Insya-Allah, semoga ia membantu. Sebelum aku cerita lebih jauh tentang perjalanan kami, biar aku kongsi dulu apa yang ada di Ali River Campsite ni sampai buatkan aku rasa rugi kalau tak berkongsi dengan korang semua. Kawasan campsite ni dikelilingi hutan hijau dengan aliran sungai yang jernih dan menenangkan. Kemudahan asas seperti tandas, bilik mandi, surau dan kawasan parkir turut disediakan. Tapak khemah pula agak luas dan sesuai untuk camping santai atau berkelah. Cuma satu benda yang aku boleh cakap awal-awal, line internet dekat sini agak lemah, tapi bagi aku itu satu kelebihan sebab tempat ni memang sesuai untuk korang yang nak betul-betul lari dari kesibukan dunia.
Bertolak Dengan Niat, Sampai Dengan Gelap
Kami berangkat ke campsite lepas waktu Asar sebab waktu tu baru betul-betul habis kerja. Dengan niat yang dah lama dipasang untuk bercamping, kami terus bergerak walaupun waktu dah makin gelap. Sampai-sampai, waktu Maghrib hampir masuk Isyak. Jujurnya, aku sendiri pun dah tak berapa ingat pukul berapa sebenarnya kami bertolak. Kalau Ju ingat, bolehlah tolong bagitahu nanti. Yang pasti, kami sampai dalam keadaan gelap dan laluan masuk ke campsite tu agak mencabar. Disebabkan belum solat Maghrib dan waktu pun hampir habis, aku dengan kawan aku terus solat berjemaah di tepi kereta sebaik sampai. Tengah kami solat tu, datang seorang pakcik menaiki motor, mungkin meronda kawasan. Dia tunggu sampai kami selesai solat sebelum bertanya kenapa solat dekat situ. Bila kami jelaskan keadaan sebenar, barulah kami tahu rupa-rupanya tak jauh dari situ ada surau, cuma disebabkan gelap dan penglihatan agak kabur, kami tak perasan.
Cari Tapak Dalam Gelap, Pasang Khemah Dengan Tawakal
Selesai urusan solat, kami terus masuk ke kawasan campsite untuk mencari tapak kosong. Malangnya, disebabkan hari tu hari hujung minggu, campsite agak penuh. Nasib baik ada satu ruang kecil yang masih kosong, ngam-ngam cukup untuk khemah kami. Dari tiada, lebih baik ada. Dan ya, ini pengalaman pertama aku memasang khemah dalam keadaan gelap. Kalau kawan aku baca cerita ni, aku pasti dia akan teringat balik momen tu. Memang agak kelam-kabut dan boleh dikatakan kerja gila juga, tapi itulah yang menjadikan pengalaman tu lebih bermakna. Setiap pengalaman baru sebenarnya akan meninggalkan satu memori manis dalam hidup, walaupun pada masa tu kita rasa agak struggle.
Maggi, Lampu Bulan Dan Borak Lelaki
Lepas tapak dah dapat, kami terus keluarkan semua kelengkapan camping. Dari pasang khemah, susun barang sampai ke bab memasak. Untuk bakar-bakar memang kami tak buat sebab baru balik kerja dan waktu pun dah malam. Jadi kami pilih jalan paling mudah dan ringkas, iaitu makan maggi. Walaupun ringkas, suasana malam tu tetap jadi healing untuk kami berdua. Tapak khemah kami sebenarnya agak dekat dengan kawasan parkir dan laluan keluar masuk orang, tapi sebab dah book dan dah penat, kami redha saja. Lepas semuanya siap, kami sempat berborak santai, borak lelaki, topik pun random saja, selit-selit sikit perbualan tentang agama walaupun aku sendiri dah tak berapa ingat apa yang dibualkan malam tu.
Bila Lampu Padam, Alam Ambil Alih
Malam tu, apa yang kami nampak hanyalah kawasan sekitar khemah sahaja. Kami tak tahu sepenuhnya keadaan kawasan campsite tu sebab semuanya dalam gelap. Pakcik yang kami jumpa sebelum tu ada beritahu lampu kawasan akan dimatikan sekitar pukul satu pagi. Nasib baik ada cahaya bulan yang sedikit sebanyak menerangi malam, jadi taklah rasa terlalu gelap. Walaupun kami dah tahu tempat tu cantik pada waktu siang, tapi pengalaman masuk, cari tapak dan pasang khemah dalam gelap memang lain macam cabarannya. Apa-apa pun, setiap aktiviti yang dibuat bersama kawan-kawan memang tak pernah mengecewakan.
Pagi Yang Buat Kami Rasa Hidup
Keesokan paginya, kami sempat solat Subuh berjemaah sebelum keluar berjalan-jalan sekitar campsite. Kawasan dia agak luas, jadi kami ambil peluang brisk walk sambil hirup udara pagi yang sejuk. Kami singgah di sungai untuk rasa kesejukan air pagi yang memang lain macam sejuknya. Sejuk sampai aku rasa kalau tak mandi sehari pun tak apa. Hahaha! Gurau je. Sempat juga kami bergambar sekeping dua sambil menikmati keindahan alam. Untuk pengetahuan korang, kawasan ni memang ada disediakan untuk mereka yang nak datang berkelah, cuma sebab kami keluar awal pagi lepas Subuh, kawasan tu masih sunyi dan belum ada orang.
Yang Tak Ikut Malam, Datang Pagi
Malam tadi kami berdua, tapi pagi tu kami bertiga. Kawan yang kata tak nak ikut camping tu datang ke campsite untuk rasa pengalaman healing di sungai. Alang-alang dia datang, kami minta dia bawakan sedikit bekalan sarapan sebab stok makanan malam tadi dah tak banyak. Dengan perut masing-masing yang cepat lapar, memang tak cukup kalau nak harapkan lebihan makanan semalam. Lepas alas perut sikit, tanpa fikir panjang kami terus redah masuk sungai. Sejuk fikir belakang, yang penting mandi dulu. Pagi tu memang nampak kami macam orang yang tak pernah mandi sungai. Orang lain baru nak bangun tidur, kami dah berendam dalam air yang sejuk.
Bila Siang Menunjukkan Realiti
Lepas selesai mandi, kami kembali ke khemah untuk bersiap dan kemas semua barang. Bila tengok balik kedudukan tapak khemah kami pada waktu siang, rasa kelakar pula. Waktu malam rasa macam semuanya okay saja, tapi bila pagi, baru perasan kawasan tu sebenarnya jadi laluan orang ramai. Disebabkan itu, kami buat keputusan untuk segera kemas khemah dan bergerak pulang. Btw guys! khemah kami bukan yang didepan tu ya. tapi yang aku bulatkan macam dalam gambar bawah ni. Hahaha!
Singgah Makan, Singgah Solat, Singgah Terlelap
Dalam perjalanan balik, kami singgah makan tengah hari di sebuah restoran di Tanjung Malim, The Douqlas Street. Makanan dekat situ agak mengenyangkan dan sesuai untuk isi perut lepas trip camping. Lepas makan, kami singgah di UPSI untuk solat Zohor. Penat bermandi sungai ditambah pula dengan perut yang kenyang buatkan kami masing-masing terlelap hampir dua jam sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah sewa.
Trip Random, Tapi Hati Puas
Kalau korang baca cerita ni, memang boleh nampak perancangan kami agak random. Yang asalnya berdua, jadi bertiga keesokan paginya. Ditambah pula singgah makan di Tanjung Malim yang buatkan perjalanan pulang jadi lebih jauh. Tapi tak mengapa, asalkan semuanya masih dalam bajet yang kami dah tetapkan. Seronok-seronok juga, tapi bab kewangan tetap kena jaga supaya tak rasa terbeban kemudian hari.
Akhir kalam,
Itulah sedikit cerita yang aku sempat coretkan untuk destinasi kali ni. Untuk yang nak cuba datang ke Ali River Campsite, aku memang sarankan tempat ni untuk korang yang nak cari ketenangan alam. Cuma satu pesan aku, bila datang nak healing dengan alam ni, telefon tu eloklah diletak tepi. Bukan apa, selain line yang agak susah nak dapat, suasana di sini memang lebih indah bila kita betul-betul fokus menikmati ciptaan Tuhan, pokok-pokok yang menghijau dan bunyi derasan air sungai yang menenangkan.
π Rujukan Destinasi
Ali River Campsite, Kerling – Hulu Selangor
π Google Maps
π [Google Maps Ali River Campsite]
π Tempahan & Info
π [Tiktok Ali River Campsite/ Instagram rasmi Ali River Campsite]
(Kebiasaannya booking dibuat melalui media sosial)
For reminder guys!
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Catatan Popular
First time hiking Malaysia : Jom follow aku ...
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Bukan Hiking, Tapi Healing
- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
Ulasan
Catat Ulasan